Satu madah dari seorang sahabat:
Kini kita sedang berdepan dengan senario perkampungan tanpa sempadan atau apa yang dikatakan sebagai globalisasi. Dan bagi setiap orang Melayu – khususnya pemimpin, baik yang dipilih melalui demokrasi, atau oleh ‘tangan-tangan tersembunyi’ – begitu kerap menyebutnya sebagai cabaran baru masyarakat kita.
Bahkan, ketika berucap di depan masyarakat desa pun, kata-kata globalisasi dilaungkan untuk memahamkan mereka yang barangkali sukar untuk mengerti apa yang tersirat di balik makna itu. Namun, di sebalik gesaan untuk berdepan dengan asakan globalisasi, apakah orang Melayu benar-benar bersedia, apabila melihat pemikiran politik Melayu mutakhir ini yang sangat menyedihkan.
Setiap persidangan agung Umno, menampakkan fenomena pemikiran politik Melayu. Sebagai gagasan politik terbesar, baik dari sudut kekuasaan dalam pemerintahan atau payung kepada ekonomi orang Melayu, sewajarnya ia membincangkan soal-soal yang relevan dengan cabaran masakini.
Sayang, tidak seindah penampilan ahlinya, gagasan yang dihujahkan masih terlalu jauh dari citra pemikiran pemimpin masa depan. Yang ditampilkan ialah hujah betapa ‘Anwar adalah penderhaka’ dan ‘liwat’. Selebihnya mengkritik kepimpinan dengan ucapan ucapan yang lebih kepada usaha mengampu dan menonjol diri. Selepas persidangan, tiada follow up.
Bagaimana dengan isu pendidikan Melayu, kemiskinan, kegagalan menjadikan bangsa Melayu sebagai teknokrat dan usahawan tanpa tongkat, mengempisnya dana Tabung Haji, ketagihan dadah dan permasalahan moral yang semakin menjadi-jadi, persoalan Rizab Melayu atau isu rasuah yang tidak kunjung padam? Felda? Felcra? Risda?Bernas?
Inilah persoalan pokok yang perlu dibahas. Inilah ‘racun arsenik’ yang sedang membunuh jatidiri dan ketuanan Melayu, bukan Anwar, PAS atau reformasi jalanan. Inilah kemelut yang mesti segera dibedah oleh Umno sebagai parti yang memimpin negara ini.
Menjadi lebih buruk lagi ialah cara bagaimana Umno mengekalkan kekuasaan. Bagi jawatan utama presiden dan timbalan presiden, dasar tiada pertandingan dikekalkan, kononnya untuk mengekalkan perpaduan. Bagi jawatan yang lain pula, rasuah wang telah menjadi cara meraih populariti.
Rakyat sebagai penonton, dikelabui pula dengan penyelewengan istilah, ‘rasuah wang’ dicanang sebagai ‘politik wang’. Dan akhirnya, yang muncul sebagai pemimpin di kalangan orang Melayu bukanlah mereka yang berkualiti dan mampu memimpin bangsa, sebaliknya pemimpin yang takutkan kekalahan dan mempunyai banyak wang.
Jika budaya ini berterusan, sampai bila bangsa Melayu mampu menemukan pemimpinnya yang sejati sebagaimana bangsa yang lain di dunia ini?
Di sebalik kebimbangan masyarakat mengenai budaya sogokan, kita dikejutkan pula dengan pengurniaan darjah kebesaran dengan jumlah yang juga besar oleh kerajaan negeri Melaka. Tentu sahaja, yang mencadangkan dan mengurniakan darjah kebesaran itu juga ialah orang Melayu. Belum ada lagi sejarah di bumi Malaysia ini Ah Kong atau Kumaresan mengurniakan ‘Tan Sri’ atau ‘Datuk’ kepada orang lain.
Kita tidak mempertikaikan hak memberikan pengurniaan itu kepada sesiapa pun. Namun, apakah benar orang yang diberikan kurniaan itu benar-benar berjasa kepada negara dibandingkan dengan orang lain?
Siapalah sangat seorang bekas wartawan yang menulis buku kontroversi berkaitan liwat dibandingkan dengan seorang guru yang puluhan tahun mendidik anak bangsa? Mengapa tidak pula anugerah ini diberikan kepada ahli politik pembangkang seperti Karpal Singh atau Lim Kit Siang yang sudah puluhan tahun berjasa dalam politik negara?
Kalau mengkritik dan membangkang bukan satu jasa dalam amalan demokrasi, mengapa penubuhan parti politik pembangkang dibenarkan dalam perlembagaan? Sekali lagi inilah cara orang Melayu berfikir.
Di luar negara, bekas perdana menteri kita tidak habis-habis mempromosikan bekas timbalannya sebagai homoseks. Benar atau tidak, ini soal keyakinan dan kepercayaan masing-masing. Namun, apakah ini minda seorang negarawan? Apakah keuntungan yang beliau perolehi daripada caranya itu, melainkan akhirnya menjatuhkan imejnya sendiri.
Sekalipun diasak oleh soalan-soalan wartawan, bukankah lebih baik ia hanya menjawab, ‘Mahkamah sudah membuat keputusannya’. Yang pada akhirnya akan terpampang di seluruh media dunia betapa ceteknya minda orang Melayu berfikir dan meluahkan pemikiran.
Bukankah soal-soal remeh seumpama itu boleh sahaja dibualkan Pak Latiff di kedai kopi di Kampung Nami, Kuala Nerang sahaja. Sebagai bekas negarawan (kalaulah boleh dikategorikan begitu), maka wajar untuk beliau berbicara soal lebih besar lagi seperti misalnya adakah Melayu masih lagi wujud 100 tahun akan datang, atau adakah mampu bangsa Malaysia memimpin dunia ini seperti Amerika Syarikat.
Lantas, apakah peranan kita untuk menyedarkan pemimpin Melayu ini supaya kembali sedar betapa banyak yang mereka lakukan kini, hanya bakal menghancurkan bangsa itu sendiri. Kita tidak mahu hanya mendengar komen dari ahli akademik yang sekadar berkata, ‘itu satu keputusan yang bijak’.
Atau pengamal media massa yang hanya berani melaporkan ‘khabar gembira’ semata-mata. Ia akan hanya mengasuh orang Melayu untuk menjadi ‘Yes Man’ dan bukan ‘Superman’. Ia hanya sekali lagi melahirkan ‘Hang Tuah’ yang hanya taat tetapi tidak bijak berfikir.
Pemimpin politik Melayu sudah mencapai tahap untuk menjadi lebih dewasa, waras dan matang. Mentadbir negara tidak sama seperti bermain congkak. Ia bukan makmal eksperimen untuk diuji cuba.
Perlu ada keseriusan dalam memimpin. Sekiranya benar, berkatalah benar. Jika salah, mengakulah salah. Menyembunyikan kesilapan memang akan menampakkan kebaikan, tetapi ia bukan penyudah masalah.
Yang bakal menjadikan orang Melayu gagal atau mundur, ialah orang Melayu sendiri. Semuanya bergantung bagaimana caranya kita berfikir dalam berpolitik. Meraih kekuasaan tidak akan bermakna apa-apa, kalau kita tidak tahu bagaimana cara menggunakan kekuasaan itu demi kebaikan bangsa.
Thursday, February 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment